Sunday, July 15, 2012

Harian Metro - Empat beradik kahwin serentak


PONTIAN: Empat beradik meraikan hari bersejarah dengan diarak rakan dan saudara ketika melangsungkan majlis perkahwinan secara serentak di Kampung Parit Bilal Darat, Rambah, di sini, kelmarin.

Dalam hujan renyai, empat beradik itu, Mohd Saifuddin Rabion, 25, Nor Rasidah, 23, Nor Azhanah, 22, dan Siti Amirah, 21, bersama-sama pasangan masing-masing diarak sejauh satu kilometer ke rumah ibu bapa mereka.


Perarakan pasangan mempelai, Mohd Saifuddin dan Noor Adrena Mohd Hamdani, 22, berpakaian berwarna kelabu, Nor Rasidah dan Mohamad Faizul Hazmi Abd Rahim, 23, serba biru, Nor Azhanah dan Izzuddin Husni, 23, serba kuning dan Siti Amirah bersama Shahril Wagiman, 33, pula berpakaian jingga, turut diserikan dengan paluan kompang.

Pada majlis dihadiri hampir 3,000 tetamu itu, Mohd Saifuddin yang bertugas di Hospital Permai, Johor Bahru berkata, isterinya juga bertugas di tempat sama.


“Majlis pernikahan kami berlangsung sebulan lalu di rumah Noor Adrena di Parit Sulong, Batu Pahat.


“Majlis perkahwinan serentak bersama tiga adik dan pasangan mereka cukup bersejarah bagi keluarga kami. Syukur kerana semuanya bermula dan berakhir dengan baik,” katanya yang juga anak ketiga daripada enam beradik ketika ditemui.

Bapa Mohd Saifuddin, Rabion Buang, 69, berkata, dia dan isterinya, Zahrah Othman, 60, bersyukur keempat-empat anak mereka akhirnya menemui jodoh masing-masing dan mendoakan perkahwinan berkekalan.


“Keempat-empatnya bertunang dan bernikah pada masa serta hari yang berlainan, namun kami bersyukur kerana majlis ini dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Ramai penduduk setempat berbilang kaum yang hadir, pada masa sama, meramaikan lagi majlis ialah keluarga menantu. Majlis ini bukan saja mengeratkan silaturahim, malah menjimatkan masa dan kos,” katanya.


Bapa kepada Sharil pula, Wagiman Marjan, 60, berkata, dia dan isterinya, Jumaah Mohd Sidek, 50, tidak menyangka perkahwinan anak sulung daripada tujuh beradik itu cukup meriah.

Sumber

Harian Metro - Merengek bagai anak kecil


KUANTAN: Dia dilahirkan normal, namun akibat demam panas yang dihidapinya ketika berusia tujuh bulan, tumbesarannya terganggu sekali gus tidak mampu berjalan mahupun bercakap.

Sekali imbas ketika melihatnya terlantar di katil, pasti ramai yang menyangka Mohd Badrul Hisham Mahmud baru berusia tiga tahun, tetapi hakikatnya dia sebenarnya sudah berusia 15 tahun.


Ketika rakan lain yang seusianya kini sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan nama Syam oleh keluarganya, hanya mampu merengek seperti anak kecil dan tidak berupaya menguruskan dirinya sendiri.

Ibunya, Rosli Ramli, 52, berkata dia terpaksa menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu sama seperti bayi termasuk dipakaikan lampin dan diberi makan makanan bayi seperti nestum.


“Ketika dilahirkan, berat Syam normal iaitu sekitar 3 kilogram (kg) namun apabila menginjak usia tujuh bulan segala-galanya berubah apabila dia menghidap demam panas sehingga menyebabkannya lumpuh dan cacat.


“Doktor mengesahkan Syam menghidap sejenis penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dilahirkan normal berubah menjadi begini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Putih, di sini, kelmarin.

Rosli berkata, dia sekeluarga sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan alternatif untuk mengubati penyakit anaknya itu namun keadaannya tidak berubah.


Katanya, Syam tidak berupaya menelan makanan pejal dan hanya diberi makanan yang lembut seperti nestum atau bubur yang dikisar sehingga menyebabkan badannya berubah menjadi kurus melidi dan hanya mempunyai berat kira-kira 20 kg.

“Syam akan merengek atau menangis sekiranya dia lapar ataupun berasa tidak selesa. Jadi saya perlu sentiasa berada di sampingnya bagi memastikan keperluannya terjaga.


“Tidak sukar untuk menjaga Syam cuma ia memerlukan cara penjagaan yang betul dan hanya saya serta suami saja yang boleh mengangkatnya kerana anak-anak saya yang lain tidak berani berbuat demikian kerana keadaan tubuhnya yang lemah dan lembik,” katanya.


Katanya, Syam menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan tetapi jumlah itu tidak mencukupi kerana keperluan Syam mencecah RM700 sebulan termasuk ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.


Rosli berkata, suaminya, Mahmud Awang, 56, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM700 sebulan dan ada kalanya mereka berdua terpaksa mengikat bagi memastikan anak-anak mendapat makanan secukupnya.


Walaupun sudah berusia 15 tahun, Syam hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan diri berikutan dia masih lagi tidak mempunyai MyKad.


Rosli berkata, dia pernah menyuruh seorang anaknya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, untuk bertanya mengenai proses memohon MyKad Syam, namun pegawai yang bertugas tetap menyuruh Syam hadir sendiri ke pejabat JPN.


“Dengan keadaan Syam yang begini, manalah mampu saya membawanya ke JPN, lebih-lebih lagi kami tidak mempunyai kenderaan untuk berbuat demikian.


“Sehingga kini permohonan untuk mendapatkan MyKad Syam masih lagi tertangguh dan saya sendiri tidak tahu adakah Syam berkesempatan untuk memiliki MyKad ataupun tidak,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang ketika melawat Syam di rumahnya menggesa supaya JPN mengambil inisiatif untuk ke rumah keluarga Syam untuk menguruskan proses permohonan MyKadnya.

Sumber

Harian Metro - Perlu cari rezeki berkat


KUALA LUMPUR: “Dalam soal mencari rezeki, kita perlu balik kepada asal iaitu mencari keberkatan. Kalau ia berpunca daripada sumber yang baik, maka baik hasilnya. Jika tidak, ia mengundang kemurkaan Allah Taala,” kata Pengasas Imam Muda dan Ustazah Pilihan, Tuan Asmawi Tuan Umar.

Katanya, sebagai manusia kita sentiasa mempunyai pilihan untuk mencari rezeki kerana banyak perkara yang boleh diusahakan untuk mendapatkan wang biarpun hanya bekerja sebagai tukang sapu dan kerana ia tetap dikira sebagai satu pekerjaan halal.


Tuan Asmawi berkata, tidak timbul soal perlu melakukan kegiatan menyalahi hukum agama kerana lebih penting ialah pendapatan diperoleh itu dibenarkan dari segi syarak kerana ia akan disalurkan kepada orang lain khususnya ahli keluarga.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro, kelmarin, mengenai pengakuan seorang penari gelek Melayu yang memperoleh pendapatan lumayan mencecah RM8,000 sebulan selepas menghiburkan pengunjung sebuah restoran Arab di ibu negara.


Bukan itu saja, penari yang mahu dikenali sebagai Putri itu turut mengakui selain menari di situ, dia juga memenuhi undangan persembahan korporat dan menyifatkan ia sebagai karier profesional yang tidak lagi dipandang negatif masyarakat.


Mengenakan beberapa set pakaian menggiurkan penonton, Putri juga mendedahkan betapa karier penari sepertinya semakin mendapat tempat dalam masyarakat Melayu dengan pertambahan studio khusus untuk mengajar pelbagai tarian termasuk gelek.

Harian Metro - Suspek mengaku perkosa wanita hamil


GOMBAK: Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan reman bersabit kes dadah pada 6 Julai lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengaku pernah memperkosa seorang ibu hamil lima bulan yang ditemui mati, baru-baru ini.

Mangsa E Vally, 25, ditemui dalam keadaan mukanya berulat jam 3 petang di belakang sebuah stor besi di Jalan Rawang, Batu Arang, Sungai Dua, di sini, 5 Julai lalu.


Keputusan bedah siasat di Hospital Sungai Buloh turut mendapati mangsa dari Bandar Country Homes, di sini, mati akibat dijerut leher selain ada kesan air mani pada kemaluannya. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek terbabit didapati positif dadah jenis ganja melalui ujian saringan awal air kencing yang dijalankan sebelum dia direman.

“Berikutan penahanan itu, pada Khamis lalu hasil soal siasat ke atas suspek mengaku terbabit dalam satu kes pembunuhan membabitkan seorang wanita hamil. Siasatan lanjut suspek mengaku memperkosa mangsa bersama tiga lagi rakannya.


“Suspek turut mendakwa seorang rakannya dikenali Jahat berusia 34 tahun menjerut leher mangsa menggunakan tali pinggang milik mangsa hingga mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mayat seorang wanita mengandung lima bulan ditemui dalam keadaan muka berulat di kawasan semak berhampiran sebuah stor besi di Batu 2, Rawang, dekat sini. Mangsa yang berusia 30-an ditemui jam 3 petang oleh sekumpulan pekerja kilang yang melalui kawasan berkenaan sebelum seorang daripadanya menghubungi polis.

Harian Metro - Nak buang air pun susah!



KLANG: Krisis air yang dikatakan makin serius di Lembah Klang semakin dirasai apabila penduduk di daerah ini mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan air rendah sejak dua bulan lalu.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati penduduk di rumah pangsa Sri Sementa, Kapar, di sini, terputus bekalan air sejak pagi kelmarin.


Penduduk rumah pangsa berkenaan, Norah Tamsir, 52, berkata, kawasan itu terputus bekalan air sejak jam 10 pagi kelmarin hingga 3 pagi semalam.

“Selepas jam 3 pagi, bekalan air kembali pulih, tetapi terputus kembali pada jam 9 pagi tadi (semalam) dan hingga kini (petang semalam) rumah kami masih terputus bekalan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Norah yang tinggal di tingkat tiga rumah pangsa itu berkata, ekoran masalah itu penduduk blok empat rumah pangsa itu menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang kemudian menghantar air dengan menggunakan lori tangki.


“Rumah saya ada tujuh orang. Bila bekalan air tiada, nak masak, mandi, buang air pun susah! Malah, kami sekeluarga terpaksa mandi di Taska Sungai Kapar Indah kira-kira 800 meter dari sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Meor, 29, berkata, sejak awal tahun ini, gangguan bekalan air kerap berlaku.


“Sekurang-kurangnya sebulan sekali dan antara sehari hingga tiga hari air tiada.

“Khamis lalu, saya perasan air sudah mula perlahan dan saya menghubungi Syabas yang memaklumkan tekanan air rendah menyebabkan air tangki tidak penuh,” katanya.


Beliau yang sudah dua tahun menetap di situ, berkata Syabas menghantar lori tangki membekalkan air kepada penduduk bermula pagi semalam hingga ke petang.


Akhbar semalam melaporkan Syabas bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air makin serius di Lembah Klang sejak April lalu.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan rizab air di kawasan tadahan sekitar Selangor berada pada peringkat kritikal menyebabkan banyak penduduk di tiga kawasan berkenaan terputus bekalan air.

Saturday, July 14, 2012

Harian Metro - DBKL akan bertindak


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius penganjuran pesta mahupun parti liar di kelab hiburan sekitar ibu kota, apatah lagi membabitkan golongan bawah umur.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, perbuatan itu satu kesalahan berat dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika terbukti mereka berbuat demikian.


“Premis perniagaan hiburan sepatutnya tidak membenarkan individu bawah umur sebagai pelanggan sepanjang ia beroperasi.

“Andai sabit kesalahan dan kita peroleh bukti kukuh, DBKL tidak teragak-agak menarik lesen perniagaan dan menyita semua barang dalam kelab hiburan itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad (MA) bagi mengulas isu penganjuran ‘parti lolipop’ di pusat hiburan membabitkan remaja, termasuk di bawah umur.


Ditanya sama ada pihaknya pernah menerima aduan sedemikian, beliau berkata, ini kali pertama dan sebaik mendapat laporan lengkap mengenainya, pihaknya akan bertindak mengikut kesesuaian.


“Jika ada aduan orang ramai atau laporan polis menyatakan premis terbabit menganjurkan parti sedemikian, DBKL akan beri amaran dan hantar surat tunjuk sebab.

“Namun kalau kes sudah nyata berserta bukti, kita akan terus menyita premis dan lesen perniagaan ditarik balik. “Kita juga boleh merampas barang dalam premis supaya mereka tidak terus beroperasi,” katanya.


Sementara itu, pakar motivasi dan psikologi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata, ibu bapa perlu proaktif serta kreatif mengawal anak dan bukan menyekat kemudahan akses terhadap teknologi.

“Laman sosial sudah menjadi ‘trend’, mereka punya kawan dan mustahil kita boleh periksa atau sekat akses mereka terhadap dunia teknologi seperti laman sosial atau khidmat pesanan ringkas dan sebagainya,” katanya.


“Malah, tindakan sedemikian membuatkan remaja lebih memberontak. Lumrah buat anak remaja sekarang mencuba apa saja yang rakan mereka lakukan kerana bimbang diejek ketinggalan zaman.


“Alternatif terbaik dalam menangani isu ini, ibu bapa perlu proaktif dalam mendidik anak dan menyiapkan perisai terbaik iaitu keperluan rohani seperti ingatkan anak kukuhkan solat, membaca al-Quran serta Yasin dan amalan doa baik untuk dirinya,” katanya.


Beliau berkata, dengan adanya usaha sedemikian daripada ibu bapa, anak tidak terpengaruh dan lebih rasional dalam setiap perkara yang ingin mereka lakukan.

Sumber

Harian Metro - Pedang di leher


KUANTAN: Dua sahabat hanya terbayang maut apabila leher masing-masing diacu tiga pedang samurai selepas kafe siber tempat mereka bekerja dimasuki tiga penyamun di Bukit Setongkol, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian 12 tengah malam, mangsa berusia 20 tahun bersama rakannya terpaksa menyerahkan wang tunai RM2,000 hasil perniagaan hari berkenaan kepada tiga penyamun terbabit.


Mangsa sebelum itu mengalu-alukan kedatangan tiga penyamun terbabit kerana menyangka mereka pelanggan tetapi sebaik berada di premis, mereka mengeluarkan pedang dan mengacukannya ke leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa bersama rakannya yang ketakutan terpaksa menyerahkan wang tunai di dalam mesin juruwang kepada penyamun.


Menurutnya, sebaik mengambil wang tunai itu, dua daripada penyamun melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam, manakala seorang lagi menunggang motosikal.

Sumber