Saturday, July 14, 2012

Harian Metro - DBKL akan bertindak


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius penganjuran pesta mahupun parti liar di kelab hiburan sekitar ibu kota, apatah lagi membabitkan golongan bawah umur.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, perbuatan itu satu kesalahan berat dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika terbukti mereka berbuat demikian.


“Premis perniagaan hiburan sepatutnya tidak membenarkan individu bawah umur sebagai pelanggan sepanjang ia beroperasi.

“Andai sabit kesalahan dan kita peroleh bukti kukuh, DBKL tidak teragak-agak menarik lesen perniagaan dan menyita semua barang dalam kelab hiburan itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad (MA) bagi mengulas isu penganjuran ‘parti lolipop’ di pusat hiburan membabitkan remaja, termasuk di bawah umur.


Ditanya sama ada pihaknya pernah menerima aduan sedemikian, beliau berkata, ini kali pertama dan sebaik mendapat laporan lengkap mengenainya, pihaknya akan bertindak mengikut kesesuaian.


“Jika ada aduan orang ramai atau laporan polis menyatakan premis terbabit menganjurkan parti sedemikian, DBKL akan beri amaran dan hantar surat tunjuk sebab.

“Namun kalau kes sudah nyata berserta bukti, kita akan terus menyita premis dan lesen perniagaan ditarik balik. “Kita juga boleh merampas barang dalam premis supaya mereka tidak terus beroperasi,” katanya.


Sementara itu, pakar motivasi dan psikologi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata, ibu bapa perlu proaktif serta kreatif mengawal anak dan bukan menyekat kemudahan akses terhadap teknologi.

“Laman sosial sudah menjadi ‘trend’, mereka punya kawan dan mustahil kita boleh periksa atau sekat akses mereka terhadap dunia teknologi seperti laman sosial atau khidmat pesanan ringkas dan sebagainya,” katanya.


“Malah, tindakan sedemikian membuatkan remaja lebih memberontak. Lumrah buat anak remaja sekarang mencuba apa saja yang rakan mereka lakukan kerana bimbang diejek ketinggalan zaman.


“Alternatif terbaik dalam menangani isu ini, ibu bapa perlu proaktif dalam mendidik anak dan menyiapkan perisai terbaik iaitu keperluan rohani seperti ingatkan anak kukuhkan solat, membaca al-Quran serta Yasin dan amalan doa baik untuk dirinya,” katanya.


Beliau berkata, dengan adanya usaha sedemikian daripada ibu bapa, anak tidak terpengaruh dan lebih rasional dalam setiap perkara yang ingin mereka lakukan.

Sumber

No comments:

Post a Comment