Saturday, July 14, 2012

Berita Harian - 11 dulang barang kemas lesap 3 minit


Gombak: Sekumpulan penjenayah mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan 11 dulang barang kemas dianggar bernilai hampir RM2 juta dari sebuah kedai emas, di sini.

Kejadian jam 11.30 pagi semalam di sebuah pasar raya besar itu bermula apabila dua lelaki bersenjatakan pistol mengarahkan pengunjung pasar raya terbabit meniarap atas lantai sebelum memukul kepala seorang pengawal keselamatan berusia 40-an menggunakan pistol dan merampas senapang patah miliknya. Seorang saksi, Yuli Madh, 28, berkata dia yang baru membuka kedai pakaiannya terkejut melihat kekecohan itu.

“Kumpulan perompak berkenaan tidak memakai topeng dan berjalan dalam keadaan bersahaja membawa pistol serta senapang patah milik pengawal keselamatan. Kejadian berlaku dengan cepat, lebih kurang tiga minit sebelum perompak meninggalkan kedai emas itu menaiki sebuah kenderaan yang menunggu di luar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan awal polis mendapati penjenayah melarikan 11 dulang barang kemas serta senapang patah milik pengawal keselamatan dengan menaiki sebuah Proton Waja.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti penjenayah menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment