Utusan Malaysia | Berita Harian Metro Online | Sinar Online | Kosmo | Harakah Daily | Suara Keadilan
Petikan dari semua laman web akhbar utama di Malaysia
Sunday, July 15, 2012
Harian Metro - Merengek bagai anak kecil
KUANTAN: Dia dilahirkan normal, namun akibat demam panas yang dihidapinya ketika berusia tujuh bulan, tumbesarannya terganggu sekali gus tidak mampu berjalan mahupun bercakap.
Sekali imbas ketika melihatnya terlantar di katil, pasti ramai yang menyangka Mohd Badrul Hisham Mahmud baru berusia tiga tahun, tetapi hakikatnya dia sebenarnya sudah berusia 15 tahun.
Ketika rakan lain yang seusianya kini sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan nama Syam oleh keluarganya, hanya mampu merengek seperti anak kecil dan tidak berupaya menguruskan dirinya sendiri.
Ibunya, Rosli Ramli, 52, berkata dia terpaksa menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu sama seperti bayi termasuk dipakaikan lampin dan diberi makan makanan bayi seperti nestum.
“Ketika dilahirkan, berat Syam normal iaitu sekitar 3 kilogram (kg) namun apabila menginjak usia tujuh bulan segala-galanya berubah apabila dia menghidap demam panas sehingga menyebabkannya lumpuh dan cacat.
“Doktor mengesahkan Syam menghidap sejenis penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dilahirkan normal berubah menjadi begini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Putih, di sini, kelmarin.
Rosli berkata, dia sekeluarga sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan alternatif untuk mengubati penyakit anaknya itu namun keadaannya tidak berubah.
Katanya, Syam tidak berupaya menelan makanan pejal dan hanya diberi makanan yang lembut seperti nestum atau bubur yang dikisar sehingga menyebabkan badannya berubah menjadi kurus melidi dan hanya mempunyai berat kira-kira 20 kg.
“Syam akan merengek atau menangis sekiranya dia lapar ataupun berasa tidak selesa. Jadi saya perlu sentiasa berada di sampingnya bagi memastikan keperluannya terjaga.
“Tidak sukar untuk menjaga Syam cuma ia memerlukan cara penjagaan yang betul dan hanya saya serta suami saja yang boleh mengangkatnya kerana anak-anak saya yang lain tidak berani berbuat demikian kerana keadaan tubuhnya yang lemah dan lembik,” katanya.
Katanya, Syam menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan tetapi jumlah itu tidak mencukupi kerana keperluan Syam mencecah RM700 sebulan termasuk ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.
Rosli berkata, suaminya, Mahmud Awang, 56, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM700 sebulan dan ada kalanya mereka berdua terpaksa mengikat bagi memastikan anak-anak mendapat makanan secukupnya.
Walaupun sudah berusia 15 tahun, Syam hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan diri berikutan dia masih lagi tidak mempunyai MyKad.
Rosli berkata, dia pernah menyuruh seorang anaknya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, untuk bertanya mengenai proses memohon MyKad Syam, namun pegawai yang bertugas tetap menyuruh Syam hadir sendiri ke pejabat JPN.
“Dengan keadaan Syam yang begini, manalah mampu saya membawanya ke JPN, lebih-lebih lagi kami tidak mempunyai kenderaan untuk berbuat demikian.
“Sehingga kini permohonan untuk mendapatkan MyKad Syam masih lagi tertangguh dan saya sendiri tidak tahu adakah Syam berkesempatan untuk memiliki MyKad ataupun tidak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang ketika melawat Syam di rumahnya menggesa supaya JPN mengambil inisiatif untuk ke rumah keluarga Syam untuk menguruskan proses permohonan MyKadnya.
Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment