Utusan Malaysia | Berita Harian Metro Online | Sinar Online | Kosmo | Harakah Daily | Suara Keadilan
Petikan dari semua laman web akhbar utama di Malaysia
Sunday, July 15, 2012
Harian Metro - Empat beradik kahwin serentak
PONTIAN: Empat beradik meraikan hari bersejarah dengan diarak rakan dan saudara ketika melangsungkan majlis perkahwinan secara serentak di Kampung Parit Bilal Darat, Rambah, di sini, kelmarin.
Dalam hujan renyai, empat beradik itu, Mohd Saifuddin Rabion, 25, Nor Rasidah, 23, Nor Azhanah, 22, dan Siti Amirah, 21, bersama-sama pasangan masing-masing diarak sejauh satu kilometer ke rumah ibu bapa mereka.
Perarakan pasangan mempelai, Mohd Saifuddin dan Noor Adrena Mohd Hamdani, 22, berpakaian berwarna kelabu, Nor Rasidah dan Mohamad Faizul Hazmi Abd Rahim, 23, serba biru, Nor Azhanah dan Izzuddin Husni, 23, serba kuning dan Siti Amirah bersama Shahril Wagiman, 33, pula berpakaian jingga, turut diserikan dengan paluan kompang.
Pada majlis dihadiri hampir 3,000 tetamu itu, Mohd Saifuddin yang bertugas di Hospital Permai, Johor Bahru berkata, isterinya juga bertugas di tempat sama.
“Majlis pernikahan kami berlangsung sebulan lalu di rumah Noor Adrena di Parit Sulong, Batu Pahat.
“Majlis perkahwinan serentak bersama tiga adik dan pasangan mereka cukup bersejarah bagi keluarga kami. Syukur kerana semuanya bermula dan berakhir dengan baik,” katanya yang juga anak ketiga daripada enam beradik ketika ditemui.
Bapa Mohd Saifuddin, Rabion Buang, 69, berkata, dia dan isterinya, Zahrah Othman, 60, bersyukur keempat-empat anak mereka akhirnya menemui jodoh masing-masing dan mendoakan perkahwinan berkekalan.
“Keempat-empatnya bertunang dan bernikah pada masa serta hari yang berlainan, namun kami bersyukur kerana majlis ini dapat dijayakan dengan sebaiknya.
“Ramai penduduk setempat berbilang kaum yang hadir, pada masa sama, meramaikan lagi majlis ialah keluarga menantu. Majlis ini bukan saja mengeratkan silaturahim, malah menjimatkan masa dan kos,” katanya.
Bapa kepada Sharil pula, Wagiman Marjan, 60, berkata, dia dan isterinya, Jumaah Mohd Sidek, 50, tidak menyangka perkahwinan anak sulung daripada tujuh beradik itu cukup meriah.
Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment