Sunday, July 15, 2012

Harian Metro - Empat beradik kahwin serentak


PONTIAN: Empat beradik meraikan hari bersejarah dengan diarak rakan dan saudara ketika melangsungkan majlis perkahwinan secara serentak di Kampung Parit Bilal Darat, Rambah, di sini, kelmarin.

Dalam hujan renyai, empat beradik itu, Mohd Saifuddin Rabion, 25, Nor Rasidah, 23, Nor Azhanah, 22, dan Siti Amirah, 21, bersama-sama pasangan masing-masing diarak sejauh satu kilometer ke rumah ibu bapa mereka.


Perarakan pasangan mempelai, Mohd Saifuddin dan Noor Adrena Mohd Hamdani, 22, berpakaian berwarna kelabu, Nor Rasidah dan Mohamad Faizul Hazmi Abd Rahim, 23, serba biru, Nor Azhanah dan Izzuddin Husni, 23, serba kuning dan Siti Amirah bersama Shahril Wagiman, 33, pula berpakaian jingga, turut diserikan dengan paluan kompang.

Pada majlis dihadiri hampir 3,000 tetamu itu, Mohd Saifuddin yang bertugas di Hospital Permai, Johor Bahru berkata, isterinya juga bertugas di tempat sama.


“Majlis pernikahan kami berlangsung sebulan lalu di rumah Noor Adrena di Parit Sulong, Batu Pahat.


“Majlis perkahwinan serentak bersama tiga adik dan pasangan mereka cukup bersejarah bagi keluarga kami. Syukur kerana semuanya bermula dan berakhir dengan baik,” katanya yang juga anak ketiga daripada enam beradik ketika ditemui.

Bapa Mohd Saifuddin, Rabion Buang, 69, berkata, dia dan isterinya, Zahrah Othman, 60, bersyukur keempat-empat anak mereka akhirnya menemui jodoh masing-masing dan mendoakan perkahwinan berkekalan.


“Keempat-empatnya bertunang dan bernikah pada masa serta hari yang berlainan, namun kami bersyukur kerana majlis ini dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Ramai penduduk setempat berbilang kaum yang hadir, pada masa sama, meramaikan lagi majlis ialah keluarga menantu. Majlis ini bukan saja mengeratkan silaturahim, malah menjimatkan masa dan kos,” katanya.


Bapa kepada Sharil pula, Wagiman Marjan, 60, berkata, dia dan isterinya, Jumaah Mohd Sidek, 50, tidak menyangka perkahwinan anak sulung daripada tujuh beradik itu cukup meriah.

Sumber

Harian Metro - Merengek bagai anak kecil


KUANTAN: Dia dilahirkan normal, namun akibat demam panas yang dihidapinya ketika berusia tujuh bulan, tumbesarannya terganggu sekali gus tidak mampu berjalan mahupun bercakap.

Sekali imbas ketika melihatnya terlantar di katil, pasti ramai yang menyangka Mohd Badrul Hisham Mahmud baru berusia tiga tahun, tetapi hakikatnya dia sebenarnya sudah berusia 15 tahun.


Ketika rakan lain yang seusianya kini sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan nama Syam oleh keluarganya, hanya mampu merengek seperti anak kecil dan tidak berupaya menguruskan dirinya sendiri.

Ibunya, Rosli Ramli, 52, berkata dia terpaksa menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu sama seperti bayi termasuk dipakaikan lampin dan diberi makan makanan bayi seperti nestum.


“Ketika dilahirkan, berat Syam normal iaitu sekitar 3 kilogram (kg) namun apabila menginjak usia tujuh bulan segala-galanya berubah apabila dia menghidap demam panas sehingga menyebabkannya lumpuh dan cacat.


“Doktor mengesahkan Syam menghidap sejenis penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dilahirkan normal berubah menjadi begini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Putih, di sini, kelmarin.

Rosli berkata, dia sekeluarga sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan alternatif untuk mengubati penyakit anaknya itu namun keadaannya tidak berubah.


Katanya, Syam tidak berupaya menelan makanan pejal dan hanya diberi makanan yang lembut seperti nestum atau bubur yang dikisar sehingga menyebabkan badannya berubah menjadi kurus melidi dan hanya mempunyai berat kira-kira 20 kg.

“Syam akan merengek atau menangis sekiranya dia lapar ataupun berasa tidak selesa. Jadi saya perlu sentiasa berada di sampingnya bagi memastikan keperluannya terjaga.


“Tidak sukar untuk menjaga Syam cuma ia memerlukan cara penjagaan yang betul dan hanya saya serta suami saja yang boleh mengangkatnya kerana anak-anak saya yang lain tidak berani berbuat demikian kerana keadaan tubuhnya yang lemah dan lembik,” katanya.


Katanya, Syam menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan tetapi jumlah itu tidak mencukupi kerana keperluan Syam mencecah RM700 sebulan termasuk ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.


Rosli berkata, suaminya, Mahmud Awang, 56, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM700 sebulan dan ada kalanya mereka berdua terpaksa mengikat bagi memastikan anak-anak mendapat makanan secukupnya.


Walaupun sudah berusia 15 tahun, Syam hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan diri berikutan dia masih lagi tidak mempunyai MyKad.


Rosli berkata, dia pernah menyuruh seorang anaknya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, untuk bertanya mengenai proses memohon MyKad Syam, namun pegawai yang bertugas tetap menyuruh Syam hadir sendiri ke pejabat JPN.


“Dengan keadaan Syam yang begini, manalah mampu saya membawanya ke JPN, lebih-lebih lagi kami tidak mempunyai kenderaan untuk berbuat demikian.


“Sehingga kini permohonan untuk mendapatkan MyKad Syam masih lagi tertangguh dan saya sendiri tidak tahu adakah Syam berkesempatan untuk memiliki MyKad ataupun tidak,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang ketika melawat Syam di rumahnya menggesa supaya JPN mengambil inisiatif untuk ke rumah keluarga Syam untuk menguruskan proses permohonan MyKadnya.

Sumber

Harian Metro - Perlu cari rezeki berkat


KUALA LUMPUR: “Dalam soal mencari rezeki, kita perlu balik kepada asal iaitu mencari keberkatan. Kalau ia berpunca daripada sumber yang baik, maka baik hasilnya. Jika tidak, ia mengundang kemurkaan Allah Taala,” kata Pengasas Imam Muda dan Ustazah Pilihan, Tuan Asmawi Tuan Umar.

Katanya, sebagai manusia kita sentiasa mempunyai pilihan untuk mencari rezeki kerana banyak perkara yang boleh diusahakan untuk mendapatkan wang biarpun hanya bekerja sebagai tukang sapu dan kerana ia tetap dikira sebagai satu pekerjaan halal.


Tuan Asmawi berkata, tidak timbul soal perlu melakukan kegiatan menyalahi hukum agama kerana lebih penting ialah pendapatan diperoleh itu dibenarkan dari segi syarak kerana ia akan disalurkan kepada orang lain khususnya ahli keluarga.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro, kelmarin, mengenai pengakuan seorang penari gelek Melayu yang memperoleh pendapatan lumayan mencecah RM8,000 sebulan selepas menghiburkan pengunjung sebuah restoran Arab di ibu negara.


Bukan itu saja, penari yang mahu dikenali sebagai Putri itu turut mengakui selain menari di situ, dia juga memenuhi undangan persembahan korporat dan menyifatkan ia sebagai karier profesional yang tidak lagi dipandang negatif masyarakat.


Mengenakan beberapa set pakaian menggiurkan penonton, Putri juga mendedahkan betapa karier penari sepertinya semakin mendapat tempat dalam masyarakat Melayu dengan pertambahan studio khusus untuk mengajar pelbagai tarian termasuk gelek.

Harian Metro - Suspek mengaku perkosa wanita hamil


GOMBAK: Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan reman bersabit kes dadah pada 6 Julai lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengaku pernah memperkosa seorang ibu hamil lima bulan yang ditemui mati, baru-baru ini.

Mangsa E Vally, 25, ditemui dalam keadaan mukanya berulat jam 3 petang di belakang sebuah stor besi di Jalan Rawang, Batu Arang, Sungai Dua, di sini, 5 Julai lalu.


Keputusan bedah siasat di Hospital Sungai Buloh turut mendapati mangsa dari Bandar Country Homes, di sini, mati akibat dijerut leher selain ada kesan air mani pada kemaluannya. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek terbabit didapati positif dadah jenis ganja melalui ujian saringan awal air kencing yang dijalankan sebelum dia direman.

“Berikutan penahanan itu, pada Khamis lalu hasil soal siasat ke atas suspek mengaku terbabit dalam satu kes pembunuhan membabitkan seorang wanita hamil. Siasatan lanjut suspek mengaku memperkosa mangsa bersama tiga lagi rakannya.


“Suspek turut mendakwa seorang rakannya dikenali Jahat berusia 34 tahun menjerut leher mangsa menggunakan tali pinggang milik mangsa hingga mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mayat seorang wanita mengandung lima bulan ditemui dalam keadaan muka berulat di kawasan semak berhampiran sebuah stor besi di Batu 2, Rawang, dekat sini. Mangsa yang berusia 30-an ditemui jam 3 petang oleh sekumpulan pekerja kilang yang melalui kawasan berkenaan sebelum seorang daripadanya menghubungi polis.

Harian Metro - Nak buang air pun susah!



KLANG: Krisis air yang dikatakan makin serius di Lembah Klang semakin dirasai apabila penduduk di daerah ini mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan air rendah sejak dua bulan lalu.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati penduduk di rumah pangsa Sri Sementa, Kapar, di sini, terputus bekalan air sejak pagi kelmarin.


Penduduk rumah pangsa berkenaan, Norah Tamsir, 52, berkata, kawasan itu terputus bekalan air sejak jam 10 pagi kelmarin hingga 3 pagi semalam.

“Selepas jam 3 pagi, bekalan air kembali pulih, tetapi terputus kembali pada jam 9 pagi tadi (semalam) dan hingga kini (petang semalam) rumah kami masih terputus bekalan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Norah yang tinggal di tingkat tiga rumah pangsa itu berkata, ekoran masalah itu penduduk blok empat rumah pangsa itu menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang kemudian menghantar air dengan menggunakan lori tangki.


“Rumah saya ada tujuh orang. Bila bekalan air tiada, nak masak, mandi, buang air pun susah! Malah, kami sekeluarga terpaksa mandi di Taska Sungai Kapar Indah kira-kira 800 meter dari sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Meor, 29, berkata, sejak awal tahun ini, gangguan bekalan air kerap berlaku.


“Sekurang-kurangnya sebulan sekali dan antara sehari hingga tiga hari air tiada.

“Khamis lalu, saya perasan air sudah mula perlahan dan saya menghubungi Syabas yang memaklumkan tekanan air rendah menyebabkan air tangki tidak penuh,” katanya.


Beliau yang sudah dua tahun menetap di situ, berkata Syabas menghantar lori tangki membekalkan air kepada penduduk bermula pagi semalam hingga ke petang.


Akhbar semalam melaporkan Syabas bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air makin serius di Lembah Klang sejak April lalu.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan rizab air di kawasan tadahan sekitar Selangor berada pada peringkat kritikal menyebabkan banyak penduduk di tiga kawasan berkenaan terputus bekalan air.

Saturday, July 14, 2012

Harian Metro - DBKL akan bertindak


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius penganjuran pesta mahupun parti liar di kelab hiburan sekitar ibu kota, apatah lagi membabitkan golongan bawah umur.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, perbuatan itu satu kesalahan berat dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika terbukti mereka berbuat demikian.


“Premis perniagaan hiburan sepatutnya tidak membenarkan individu bawah umur sebagai pelanggan sepanjang ia beroperasi.

“Andai sabit kesalahan dan kita peroleh bukti kukuh, DBKL tidak teragak-agak menarik lesen perniagaan dan menyita semua barang dalam kelab hiburan itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad (MA) bagi mengulas isu penganjuran ‘parti lolipop’ di pusat hiburan membabitkan remaja, termasuk di bawah umur.


Ditanya sama ada pihaknya pernah menerima aduan sedemikian, beliau berkata, ini kali pertama dan sebaik mendapat laporan lengkap mengenainya, pihaknya akan bertindak mengikut kesesuaian.


“Jika ada aduan orang ramai atau laporan polis menyatakan premis terbabit menganjurkan parti sedemikian, DBKL akan beri amaran dan hantar surat tunjuk sebab.

“Namun kalau kes sudah nyata berserta bukti, kita akan terus menyita premis dan lesen perniagaan ditarik balik. “Kita juga boleh merampas barang dalam premis supaya mereka tidak terus beroperasi,” katanya.


Sementara itu, pakar motivasi dan psikologi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata, ibu bapa perlu proaktif serta kreatif mengawal anak dan bukan menyekat kemudahan akses terhadap teknologi.

“Laman sosial sudah menjadi ‘trend’, mereka punya kawan dan mustahil kita boleh periksa atau sekat akses mereka terhadap dunia teknologi seperti laman sosial atau khidmat pesanan ringkas dan sebagainya,” katanya.


“Malah, tindakan sedemikian membuatkan remaja lebih memberontak. Lumrah buat anak remaja sekarang mencuba apa saja yang rakan mereka lakukan kerana bimbang diejek ketinggalan zaman.


“Alternatif terbaik dalam menangani isu ini, ibu bapa perlu proaktif dalam mendidik anak dan menyiapkan perisai terbaik iaitu keperluan rohani seperti ingatkan anak kukuhkan solat, membaca al-Quran serta Yasin dan amalan doa baik untuk dirinya,” katanya.


Beliau berkata, dengan adanya usaha sedemikian daripada ibu bapa, anak tidak terpengaruh dan lebih rasional dalam setiap perkara yang ingin mereka lakukan.

Sumber

Harian Metro - Pedang di leher


KUANTAN: Dua sahabat hanya terbayang maut apabila leher masing-masing diacu tiga pedang samurai selepas kafe siber tempat mereka bekerja dimasuki tiga penyamun di Bukit Setongkol, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian 12 tengah malam, mangsa berusia 20 tahun bersama rakannya terpaksa menyerahkan wang tunai RM2,000 hasil perniagaan hari berkenaan kepada tiga penyamun terbabit.


Mangsa sebelum itu mengalu-alukan kedatangan tiga penyamun terbabit kerana menyangka mereka pelanggan tetapi sebaik berada di premis, mereka mengeluarkan pedang dan mengacukannya ke leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa bersama rakannya yang ketakutan terpaksa menyerahkan wang tunai di dalam mesin juruwang kepada penyamun.


Menurutnya, sebaik mengambil wang tunai itu, dua daripada penyamun melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam, manakala seorang lagi menunggang motosikal.

Sumber

Harian Metro - Ditetak angkara futsal


IPOH: Pertengkaran kecil membabitkan perlawanan futsal bertukar tragis apabila seorang pelajar kolej putus dua jari tangan selepas ditetak dengan parang, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa berusia 20 tahun turut ditetak bertalu-talu oleh 20 lelaki hingga bermandi darah berhampiran padang futsal Bandar Baru Putra, Tanjung Rambutan, di sini.


Lebih malang apabila adik mangsa berusia 18 tahun turut diserang kumpulan samseng hingga retak tulang kaki dan hampir putus tangan kanannya.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga penuntut jurusan komputer bermain futsal bersama adiknya di padang futsal berhampiran rumah mereka.


Menurutnya, berlaku salah faham kecil antara mangsa dengan seorang rakannya, dipercayai ada kaitan dengan kekasaran ketika perlawanan diadakan.


“Namun suspek didakwa beredar sebelum muncul kembali bersama sekumpulan lelaki menaiki motosikal beberapa minit kemudian.

“Kumpulan suspek kemudian menyerang mangsa dan adiknya dengan parang. Mangsa hanya mampu mempertahankan diri dengan tangan ketika ditetak kumpulan samseng,” katanya.


Menurutnya, mangsa ditetak dua jari tangan kirinya hingga putus selain turut dilibas dengan parang pada lutut kirinya.

“Adik mangsa yang juga penuntut kolej cuba membantu abangnya, namun turut diserang dan ditetak. Kumpulan samseng kemudian bergegas melarikan diri,” katanya. Sementara itu, adik mangsa ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh berkata, kumpulan suspek terlalu ramai dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Setia, 18, berkata, seorang penyerang menetak kaki kirinya hingga menyebabkan tulang kakinya retak, selain lengan tangannya parah.


“Saya dan abang yang berlumuran darah kemudian dibawa dengan ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas bagi memburu kumpulan penjenayah sejurus menerima laporan berhubung kes serangan itu.


Menurutnya, hasil tindakan pantas dilakukan, polis menangkap lima lelaki di kawasan itu yang dipercayai melakukan serangan.


“Semua suspek ditahan reman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Polis masih memburu saki baki kumpulan itu yang dipercayai menyembunyikan diri,” katanya.

Sumber

Harian Metro - Penyamun putih mata


SIASAT... pengawai polis dan pegawai dari syarikat kewangan melihat mesin deposit wang yang diumpil oleh penjenayah.

SHAH ALAM: Seorang penyamun berputih mata apabila gagal menyamun sebuah mesin deposit tunai (CDM) di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Kemuning, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi selepas suspek masuk ke premis berkenaan namun tidak berjaya melarikan wang tunai kerana gagal membuka CDM itu sebelum melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 7.50 pagi daripada seorang pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di tempat kejadian.

Katanya, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pintu mesin berkenaan mempunyai kesan umpilan.


“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan alat pemotong besi untuk membuka pintu mesin tetapi gagal membuka tempat simpanan wang.


“Suspek kemudian membatalkan niat untuk menyamun dan meninggalkan mesin begitu saja selain bimbang perbuatannya diketahui pengawal keselamatan bertugas,” katanya.

Zahedi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.


“Kita akan meneliti keadaan sebelum dan selepas kejadian menerusi CCTV bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian ini.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis akan menyiasat kejadian terbabit daripada segala aspek,” katanya.


Menurut Zahedi, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri di dalam bangunan.


Sementara itu, seorang pekerja premis berhampiran yang enggan dikenali berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh pihak bank, jam 9 pagi.


Katanya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, seorang pekerja wanita datang untuk membuka kedai jam 9 pagi sebelum ternampak pintu mesin deposit tunai terbuka dengan kesan umpil.

Sumber

Utusan Malaysia - PM lancar Kedai Kain Rakyat 1Malaysia



KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebanyak 30 lagi Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) akan dibuka di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, antara kain dijual di kedai itu ialah kain batik jacquard dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di pasaran, baju kemeja linen RM45 sehelai berbanding RM79 di pasaran serta kain satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.

Selain keperluan pakaian, kata beliau, kedai itu turut menawarkan barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah dan kelengkapan bersolat seperti sejadah dan songkok.

Sehubungan itu, kata beliau, usaha kerajaan memperkenalkan produk serta perkhidmatan jenama 1Malaysia tidak ada 'noktah' sebaliknya bersifat 'koma' (berterusan) setelah didapati ia banyak meringankan beban hidup seharian rakyat di negara ini.

"Semua pihak tidak boleh menafikan bahawa produk dan perkhidmatan jenama 1Malaysia berjaya menjimatkan perbelanjaan rakyat memandangkan harganya ditetapkan lebih rendah dari pasaran.

"Atas asas itu juga, kerajaan menetapkan tiga kriteria penting sebelum satu-satu produk atau perkhidmatan itu dibenar menggunakan jenama 1Malaysia, pertama, untuk rakyat; kedua, kualitinya baik dan ketiga, harganya murah daripada harga biasa atau pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KKR1M milik Peluang Karisma Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani dan Ketua Pegawai Operasi KKR1M, Mohd. Noor Mohd. Amin.

Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa produk serta perkhidmatan jenama 1Malaysia, antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) serta baucar subsidi tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).

Perdana Menteri berkata, walaupun harga produk serta perkhidmatan jenama 1Malaysia lebih murah, namun pihak kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kualiti.

Sementara itu, Pengarah Urusan KKR1M, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, Hulu Langat dipilih sebagai lokasi pertama premis berkenaan berdasarkan faktor lokasi yang strategik dan tidak jauh dari bandar.

Kata beliau, berdasarkan kedudukan tersebut, kedai itu diyakini dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Selangor untuk datang membeli-belah.

Menurutnya, lebih 100 jenis barang ditawarkan di premis tersebut termasuk kain ela, kain kurung, baju melayu dan kain langsir yang kesemuanya produk tempatan.

Berita Harian - Kurang tidur punca obesiti


Tidur mencukupi mengurangkan risiko menambahkan berat badan dan menyebabkan penyakit kencing manis. - Foto EPA

Lebih pendek masa tidur seseorang rasa lapar bertambah

Washington: Tabiat tidur seseorang mampu menjejaskan kawalan berat badan dan kurang tidur dikaitkan dengan memberi kesan bukan hanya berapa banyak kalori yang kita ambil tetapi juga berapa banyak tenaga yang dibakar, kata satu kajian terbaru. Sejak beberapa tahun lalu, beberapa kajian epidemiologikal mendapati ada kaitan antara berapa lama tidur seseorang dan obesiti selain diabetes jenis kedua, yang merumuskan bahawa kurang tidur menambahkan risiko untuk menambahkan berat badan dan menyebabkan penyakit kencing manis.
Kesan tidur yang singkat boleh meningkatkan rasa lapar selain penggunaan tenaga serta aktiviti fizikal tubuh seseorang" - Kajian
Kajian oleh penyelidik Universiti Tubingen and Lubeck di Jerman dan Universiti Uppsala di Sweden menunjukkan kesan tidur yang singkat boleh meningkatkan rasa lapar selain penggunaan tenaga serta aktiviti fizikal tubuh seseorang.

Aktiviti fizikal diukur dengan alat khas yang dipakai pada pinggang untuk mengesan pecutan. Tenaga digunakan badan dinilai secara tidak langsung oleh kalorimetri, satu alat yang menganggarkan jumlah kepanasan dikeluarkan oleh seseorang ketika mereka menggunakan oksigen.

Kurang tidur akan meningkatkan rasa lapar selain turut menambahkan jumlah ‘hormon lapar’ ghrelin yang dikesan dalam darah seseorang.

Lebih pendek masa tidur seseorang, mereka akan mengalami lebih rasa lapar.
Berjaga selama satu malam juga akan mengurangkan jumlah tenaga digunakan oleh badan apabila berehat.

Kajian ini memaklumkan apabila kita kurang tidur, kita akan makan lebih banyak disebabkan rasa lapar. Ini boleh menyebabkan kita bertambah berat badan.
Bagaimanapun kurang tidur juga menyebabkan kita kurang membakar kalori yang menjadi tambahan kepada penambahan berat badan.

Kajian berterusan bertujuan untuk mengetahui jika menambahkan waktu tidur boleh membantu usaha mengawal berat badan.

Walaupun masih ada cara untuk menambahkan waktu tidur bagi merawat obesiti dan diabetes, keputusan penyelidikan sedia ada jelas menyokong tanggapan bahawa tidur membabitkan keseimbangan antara jumlah kalori yang kita ambil setiap hari dan jumlah yang digunakan melalui aktiviti dan metabolisme.

Berita Harian - 400,000 orang diarah pindah


Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan perumahan di Fukuoka, Kyushu tenggelam selepas beting Sungai Yabe pecah, menyebabkan limpahan air. - Foto AFP

Banjir di barat daya Jepun makin buruk

Tokyo: Kira-kira 400,000 orang diarah atau dinasihatkan berpindah di barat daya Jepun semalam selepas hujan lebat masuk hari ketiga berturut-turut menyebabkan 29 maut atau dikhuatiri hilang, kata pihak berkuasa dan media. Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran lebih banyak kejadian tanah runtuh dan banjir di pulau selatan utama Kyushu ketika hujan lebat sehingga 11 sentimeter (4.3 inci) setiap jam dicatat semalam.
Media tempatan Kyushu melaporkan perintah pemindahan dikeluarkan kepada kira-kira 260,000 penduduk di utara kepulauan itu ketika semakin banyak sungai melimpah.

Diarah pindah

Mereka diarah berpindah ke tempat perlindungan ditetapkan seperti sekolah dan kemudahan awam lain.

Hampir 140,000 penduduk lain dinasihat meninggalkan rumah mereka bagi mengelak kemungkinan bencana, menurut pegawai yang dihubungi AFP di empat wilayah terjejas di Kyushu.

Rakaman televisyen menunjukkan lumpur deras, air dipenuhi keladak dan rumah dipenuhi air dalam apa yang digambarkan pihak berkuasa sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini” dalam musim hujan lebih awal.

Di sepanjang sungai Yamakuni di wilayah Oita, paras air dilihat sampai ke bumbung sebuah restoran tepi sungai sebelum tenggelam kemudian.

Di wilayah Fukuoka saja, 78,600 penduduk diarah meninggalkan kediaman mereka ketika air sungai melimpah di berpuluh kawasan dan 181 kejadian tanah runtuh berlaku, kata seorang pegawai.

Kira-kira 820 buah rumah rosak dan tiga jambatan dihanyutkan, kata jurucakap wilayah Fukuoka Hiroaki Aoki kepada AFP menerusi telefon.

“Dua lelaki diselamatkan daripada tanah runtuh tetapi keadaan mereka tidak diketahui.

“Seorang wanita masih terperangkap

“Saya tidak dapat mengingati kejadian banjir yang menjangkau kawasan lebih luas di wilayah kami,”katanya.

Lebih 75 sentimeter hujan turun dalam masa 72 jam di bandar Aso, yang terletak di kaki gunung berapi di wilayah Kumamoto, kata agensi kaji cuaca itu.

Angka kematian kekal 20 semalaman, dengan 19 kematian akibat tanah runtuh dan runtuhan rumah di sekitar dan berhampiran Aso. - AFP

Berita Harian - Tragedi majlis kahwin

Ahli parlimen bersama 24 lagi maut serangan bunuh diri

Mazar-i-Sharif: Seorang ahli parlimen terkenal di wilayah ini dan sekurang-kurangnya 24 lagi terkorban dalam satu serangan bunuh diri ketika majlis perkahwinan anak perempuan beliau semalam, manakala lebih 100 lagi cedera kata pihak berkuasa. 

“Penyerang dikatakan memeluk ahli parlimen berkenaan, Ahmad Khan, seorang bekas komander militia di hadapan tetamu majlis sebelum meletupkan bom yang diikat pada pinggangnya,” kata jurucakap pasukan keselamatan. 

Ketua perisikan tempatan juga maut dalam serangan di Aybak, ibu kota wilayah Samangan yang biasanya aman, yang dihadiri pegawai tinggi kerajaan lain.
Khan seorang etnik Uzbekistan, pernah berkhidmat sebagai komander ketika berdekad konflik di Afghanistan.

Setakat ini tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, manakala jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid berkata, beliau tidak mengetahui mengenai serangan oleh kumpulan militan di utara Afghanistan.

Mayat dibawa ke hospital
Ketua pengarah hospital tempatan, Dr Mansor Faye, berkata lebih 13 mayat dibawa ke hospital di Samangan, selain 60 tetamu yang cedera, 

“Mangsa yang terkorban termasuk Ahmad Khan dan ketua perisikan Samangan,” katanya.

Jurucakap pasukan keselamatan, Lal Mohammad Ahmadzai berkata angka kematian mungkin lebih tinggi.

“Setakat ini kami merekodkan 25 orang termasuk Ahmad Khan yang terkorban dan lebih 100 cedera,” katanya.

Serangan di Samangan menyamai ciri pemberontakan Taliban yang merebak dari utara ke selatan dan timur, di mana mereka secara tradisinya melakukan serangan.

Afghanistan Utara secara biasanya aman namun keganasan berlaku sekali-sekala. April lalu, satu serangan bunuh diri di wilayah Faryab mengorbankan 12 orang, kebanyakannya orang awam.

Pada 2011, satu serangan bunuh diri dilakukan Taliban mengorbankan Jeneral Daud Daud, seorang komander polis wilayah dan pernah menjadi ketua anti-dadah di Taloqan, ibu kota wilayah utara Takhar.

Serangan terbaru

Serangan majlis perkahwinan itu adalah terbaru ke atas ahli politik.

Seorang pegawai hal ehwal wanita tempatan dibunuh Jumaat lalu, apabila sebutir bom yang diletakkan pada kenderaannya meletup, dalam serangan yang turut menyebabkan suami dan anak perempuannya parah, kata polis.

Pengarah hal ehwal wanita wilayah Laghman, Hanifa Safi, terbunuh apabila sebutir bom magnetik diletakkan pada kenderaannya.

Jurucakap kerajaan wilayah Laghman, Sarhadi Zwak menyalahkan pemberontak Taliban atas serangan terbabit. - AFP

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - 11 dulang barang kemas lesap 3 minit


Gombak: Sekumpulan penjenayah mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan 11 dulang barang kemas dianggar bernilai hampir RM2 juta dari sebuah kedai emas, di sini.

Kejadian jam 11.30 pagi semalam di sebuah pasar raya besar itu bermula apabila dua lelaki bersenjatakan pistol mengarahkan pengunjung pasar raya terbabit meniarap atas lantai sebelum memukul kepala seorang pengawal keselamatan berusia 40-an menggunakan pistol dan merampas senapang patah miliknya. Seorang saksi, Yuli Madh, 28, berkata dia yang baru membuka kedai pakaiannya terkejut melihat kekecohan itu.

“Kumpulan perompak berkenaan tidak memakai topeng dan berjalan dalam keadaan bersahaja membawa pistol serta senapang patah milik pengawal keselamatan. Kejadian berlaku dengan cepat, lebih kurang tiga minit sebelum perompak meninggalkan kedai emas itu menaiki sebuah kenderaan yang menunggu di luar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan awal polis mendapati penjenayah melarikan 11 dulang barang kemas serta senapang patah milik pengawal keselamatan dengan menaiki sebuah Proton Waja.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti penjenayah menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - Pengasuh mengaku pukul bayi


Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan bengkak dan lebam pada muka selepas dipercayai ditampar pengasuh sebuah pusat asuhan di Presint 18, Putrajaya, kelmarin.

Muhammad Arfan Harraz Hazri, kini dirawat di Hospital Selayang apabila keputusan x-ray menunjukkan berlaku pendarahan di bawah mata, hidung dan telinganya. Bapanya, Hazri Nizam Zakaria, 33, berkata beliau terkejut melihat bahagian kanan muka bayinya mempunyai kesan lebam ketika mengambil Arfan dari pusat asuhan berkenaan, tetapi pengasuh terbabit memberi alasan mangsa alah kepada susu.
“Isteri saya kemudian mendesak pengasuh itu menceritakan perkara sebenar dan dia memberitahu Arfan terjatuh dari katil bayi pula. Saya yang masih tidak berpuas hati, sekali lagi menghubungi pengasuh berkenaan pagi tadi (semalam) dan selepas didesak, dia mengaku memukul Arfan.

“Pengasuh itu juga memberi alasan berbuat demikian kerana kononnya bayi kami tidak henti-henti menangis. Dia juga mendakwa tertekan kerana terpaksa menjaga lapan bayi berseorangan,” katanya kepada BH, semalam.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan di balai polis Rawang dan jurucakap polis, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - SYABAS mahu catu air di tiga kawasan


Usaha bantu tangani kekurangan bekalan

Seri Kembangan: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) akan menghantar kertas cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan program catuan air di Kuala Lumpur, Klang dan Hulu Langat. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan, cadangan itu akan dikemukakan minggu depan dalam usaha mengurangkan masalah pengguna di tiga kawasan terbabit yang berdepan krisis air serius.

Menerusi catuan, beliau berkata, pihaknya dapat merangka jadual sistematik bagi membolehkan pengguna dimaklumkan bila bekalan air terjejas dan membuat perancangan sebelum gangguan, sekali gus kawasan yang kerap mengalami masalah itu tidak terjejas bagi tempoh lama.

“Sekiranya diluluskan, langkah ini praktikal dan adil. Contohnya, jika ada pengguna tidak mendapat bekalan sehingga tiga hari, mungkin melalui catuan ini, bekalan hanya terjejas dua hari,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Ruslan berkata, mengikut standard antarabangsa, syarikat pengagihan air memerlukan minimum 10 peratus simpanan bagi memastikan semua kawasan mendapat bekalan mencukupi terutama pada waktu puncak yang ketika ini menyaksikan lonjakan permintaan antara 2 hingga 7 peratus.

“Minggu ini saja purata simpanan air kita kurang dua peratus dan mencecah negatif beberapa hari lalu, sekali gus tidak dapat membekalkan air ke kawasan tertentu.
“Mengikut trend bulan puasa pula, penggunaan air selalunya meningkat dan lebih merisaukan sekiranya musim panas sekarang berterusan,” katanya.

INFO: Talian hotline SYABAS 1800885252
Terima lebih 1,000 aduan dari Kuala Lumpur, Klang, Hulu Langat sejak April lalu.
Rata-rata aduan minta lori tangki menghantar bekalan air.

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - NSTP bantu Islam Kemboja


Mior Kamarul (kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada Pegawai Pejabat Mufti Phnom Penh, Ustaz Ismail di Phnom Penh, semalam.- Foto Fariz Iswadi Ismail

Program Badan Khairat terus misi tahun kedua

Siem Reap (Kemboja): Badan Khairat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) meneruskan program Kemanusiaan Kemboja 2, dengan mengagihkan bantuan kepada penduduk Islam sekitar Siem Reap, semalam. Ini kali kedua Badan Khairat NSTP mengadakan misi bantuan ke Kemboja. Tahun lalu, misi bantuan tertumpu kepada penduduk Islam sekitar Phnom Penh.
Rombongan ke barat laut Kemboja ini diketuai Pengarang Kumpulan BH, merangkap Pengerusi Badan Khairat NSTP, Datuk Mior Kamarul Shahid, yang tiba Phnom Penh sebelum terus ke Siem Reap dengan menaiki bas sejauh 350 kilometer.

Barang keperluan harian

Di Siem Reap, agihan bantuan kemanusiaan dimulakan dengan menyampaikan pelbagai barangan keperluan harian termasuk beras, gula, susu dan teh kepada 134 keluarga miskin di Kampung Chong Kring, Kampung Angkrobe dan Kampung Vihiachen sekitar wilayah Tonle Sap.

Rombongan turut mengagihkan barang keperluan sumbangan Bank Rakyat dan penaja kepada 43 keluarga di Kampung Puak dan Kampung Krolant sebelum bergerak ke Masjid An-Nikmah menyampaikan bantuan kepada 119 keluarga di Kampung Stung, Kampung Kokramele dan Kampung Sasamdralin.
Misi empat hari

Misi yang mengambil masa empat hari berakhir Isnin ini mendapat sumbangan dan tajaan daripada pelbagai agensi antaranya, Bank Rakyat, MyHibiscus Hotels & Resorts, Al-Jabbar Group, Management and Science University (MSU), Kutchen Kitchen, Koperasi NSTP, Puteri UMNO dan orang perseorangan.

Terdahulu, ahli rombongan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusof di Chrang Chomreh, Phnom Penh.

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - Memperkasa koperasi



Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan Skim Pembiayaan Ekonomi Anggota Koperasi 1Malaysia (SPEAK) bagi membolehkan aktiviti ekonomi koperasi dijana secara lebih cekap. Serentak itu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan had maksimum geran pembangunan bantuan asas daripada RM30,000 kepada RM50,000 untuk membantu koperasi berskala kecil meningkatkan daya saing masing-masing.

Peranan koperasi sebagai tunjang ekonomi negara ketiga terbesar tidak boleh dinafikan, justeru, kerajaan sentiasa mengenal pasti kaedah yang relevan untuk membangunkan koperasi dengan lebih aktif”. - Najib Razak, Perdana Menteri

“Saya melihat banyak koperasi kecil dan kurang berdaya maju di negara ini. Jadi kenaikan geran ini adalah untuk membantu koperasi meningkatkan daya saing mereka,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara di sini.

Najib berkata, peranan koperasi sebagai tunjang ekonomi negara ketiga terbesar tidak boleh dinafikan, justeru, kerajaan sentiasa mengenal pasti kaedah yang relevan untuk membangunkan koperasi dengan lebih aktif.

“Antara langkah yang dirasakan relevan ialah memisahkan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) daripada mengawal selia dan membangunkan koperasi secara serentak.

“Tidak sesuai untuk sebuah badan memainkan peranan itu sekali gus. Ia perlu dipisahkan supaya peranannya boleh diluaskan lagi,” katanya.
Beliau bagaimanapun, memberi ingatan supaya koperasi memperkasakan pergerakan kerana mereka masih belum menunjukkan potensi maksimum masing-masing.

“Walaupun sudah berjaya, tapi pada hemat saya, ia belum lagi sampai ke tahap potensi maksimum yang boleh dicapai melalui perkembangan gerakan yang boleh diperkasakan lagi,” katanya.

Kira-kira 60,000 ahli koperasi seluruh negara menghadiri sambutan berkenaan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Di Klang: Najib berkata, perjuangan Kerajaan Pusat kini adalah berteraskan tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.

Perdana Menteri berkata, antara dasar itu ialah memelihara serta memperkasakan Islam dan pada masa sama memelihara jiwa serta menghormati hak asasi manusia bagi yang beragama Islam dan bukan Islam.

Beliau memberi contoh penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diputuskan kerajaan sebagai menghormati hak asasi rakyat negara ini.

Sumber : Berita Harian

Berita Harian - Boleh kritik kerajaan


Kuala Kangsar: Akta Keharmonian Nasional tidak akan menghalang mana-mana pihak membuat kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya. Peruntukan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang mengkritik sehingga mencetuskan kemarahan rakyat dan tidak puas hati terhadap kerajaan serta kepemimpinannya seperti termaktub dalam Akta Hasutan 1948, tidak akan dimasukkan dalam akta baru itu.

“Cuma, oleh kerana kita sebuah negara yang datang dari latar belakang agama, budaya dan adat resam yang berbeza, kita mesti jaga keharmonian, tidak ada kebebasan bersuara yang mutlak,” - Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Bagaimanapun, akta berkenaan akan terus mengekalkan tindakan tegas terhadap pihak yang menyentuh perkara sensitif seperti institusi raja-raja Melayu, agama dan perkauman.

Tiada sekatan Penjelasan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, semalam, selepas Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Keharmonian Nasional akan menggantikan Akta Hasutan, Rabu lalu.

“Sebab itu, kita kena hapus Akta Hasutan dan ganti dengan akta baru di mana ia tidak akan mempunyai satu peruntukan di mana kerajaan dan pemimpinnya tidak boleh dikritik.

“Kerajaan berpendapat kritikan kepada pemerintahan dan pemimpinnya adalah ‘legitimate’ (sah) berhubung hak kebebasan bersuara mengikut Perlembagaan.
“Kita juga berasa kritikan yang dibuat kepada kerajaan boleh menjadikan check and balance (perimbangan) supaya kerajaan sedar mungkin ada kelemahan mengenai perkara yang dikritik rakyat itu.

“Cuma, oleh kerana kita sebuah negara yang datang dari latar belakang agama, budaya dan adat resam yang berbeza, kita mesti jaga keharmonian, tidak ada kebebasan bersuara yang mutlak,” katanya selepas merasmikan gelanggang futsal baru di Taman Kuala Kangsar di sini, semalam.

Ketika mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1984 dan digantikan AKN, Najib dilaporkan berkata, akta baru itu bertujuan memberi penekanan pemupukan semangat harmoni, saling menghormati masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas turut menjelaskan Akta Hasutan perlu dimansuhkan kerana perkataan ‘hasutan’ sendiri membawa konotasi negatif.

Pelihara hubungan kaum

“Tapi ada yang tak lapuk seperti hubungan antara kaum dan kedudukan agama, kedudukan raja-raja Melayu yang mesti dipelihara, tapi jika nak larang orang daripada mengkritik kerajaan, saya ingat tak boleh pakai lagi,” katanya.

Nazri meminta semua pihak tidak memberi pandangan melulu sebaliknya menunggu isi kandungan undang-undang berkenaan dan meminta rakyat memberi pandangan masing-masing kepada pihak Pejabat Peguam Negara yang sudah arah untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, draf rang undang-undang itu akan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet, tetapi mengakui mungkin tidak sempat membentangkannya pada sesi Parlimen September ini sebaliknya tahun depan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PERKASA, Roslan Kassim, berkata penggubalan akta baru itu adalah langkah berani Perdana Menteri dalam mendepani keperluan rakyat setelah beberapa akta sebelum ini dimansuhkan.

“Ini adalah satu langkah berani kerajaan dipimpin Najib, hanya pemimpin berani saja sanggup membuat keputusan ini. Ia juga membuktikan Perdana Menteri mengotakan janjinya.

“Bagaimanapun bagi saya keterbukaan ini perlu juga ada hadnya, bersuara dengan fakta dan bukannya menjadikannya tempat untuk melemparkan fitnah. Gunalah keterbukaan kerajaan ini demi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagi Penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain, berkata walaupun tanpa akta baru berkenaan, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada rakyat untuk dikritik bagi memperbaiki kelemahan.

“Saya melihat kerajaan yang ada hari ini sentiasa dikritik rakyat dan tidak pernah menyekat rakyat daripada terus mengkritiknya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berpendapat kebebasan bersuara yang diberikan kerajaan perlu ada batasannya bagi menjamin keharmonian kaum terbina sejak sekian lama.

Sumber : Berita Harian

Sinar Harian - Muhdalina jalani pemeriksaan mental


KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Muhdalina Ahmad, 28, wanita yang terlibat dalam kes amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, akan menjalani pemeriksaan mental dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, wanita berkenaan masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.

“Pihak hospital masih belum memaklumkan kepada saya, sama ada Muhdalina sudah menjalani pemeriksaan mental. Namun polis telah mengambil keterangannya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti penglibatan Muhdalina serta punca dia terpengaruh untuk melakukan tindakan itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Isnin lalu, seorang lelaki dan wanita mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalina turut terkena tembakan di paha kanan.

Sumber : Sinar Harian